Seorang muslim yang beriman dengan Al-Quran mestilah mengamalkan segala ajaran kitab yang bertujuan menunjukkan manusia ke jalan yang benar dan diredai. Sesiapa yang berkata dia beriman dengannya (Al-Quran) sedangkan dia tidak menurut pengajarannya, maka dia tidak boleh dikatakan beriman.
DEFINISI AL-QURAN
Al-Quran adalah kalam Allah S.W.T yang diturunkan melalui malaikat Jibril a.s kepada junjungan Nabi Muhammad S.A.W, sejak lebih 1400 tahun yang lalu sebagai petunjuk dan pedoman bagi manusia, khususnya umat Islam dalam mengatur kehidupan.
Firman Allah yang bermaksud:
"Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah".
(al-Baqarah ayat 185)
Ajaran Al-Quran amat bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia, bukan sahaja mampu membangun kekuatan rohani, malah juga menggerakkan secara aktif kekuatan fizikal dan mental sehingga umat Islam pada zaman kepimpinan Rasulullah S.A.W, zaman kepimpinan Khulafa’ Ar-Rasyidin dan sesudahnya berjaya mencipta satu tamadun kegemilangan yang merentasi zaman di mana Islam mampu memimpin hampir tiga perempat dunia.
KELALAIAN UMAT ISLAM TERHADAP AL-QURAN
· Mereka hanya membaca Al-Quran tetapi perilaku kehidupan seharian mereka bertentangan dengan ajaran Al-Quran.
· Mereka mendengar Al-Quran tetapi memekakkan telinga dengan tidak menghayati tuntutannya.
· Mereka memahami isi kandungannya tetapi tidak mahu melaksanakan ajarannya.
· Mereka juga mengetahui kebenaran Al-Quran tetapi mereka masih tidak takut untuk melanggar kebenaran tersebut bahkan sanggup memperkecilkan janji dan azab Allah S.W.T.
ADAB-ADAB MEMBACA AL-QURAN :
· Niat hendaklah ikhlas kerana Allah S.W.T.
· Menggosok gigi atau bersiwak dan dalam keadaan berwuduk & menghadap kiblat.
· Memulakan dengan ta’awwuz (A’uwzubillah.).
· Membaca Al-Quran dengan melihat mashaf adalah lebih utama daripada membaca tanpa melihat mashaf.
· Membaca dengan suara yang merdu dan kuat agar dapat dihayati oleh orang lain dan diri sendiri.
· Membaca dengan penuh perhatian serta berusaha memahami maksud ayat-ayat yang dibaca.
· Dilarang membaca Al-Quran sambil ketawa atau sambil berbual-bual, kecuali tentang sesuatu yang amat penting.
Untuk maklumat lanjut, sila ke laman web JAKIM